Sunday, April 3, 2011

"Adoh...haranjadah sungguh latei ni....tubik sekerat paha aku", jerit aku, sambil menahan sakit.

Rumah lama ini sahaja yang mampu emak dan pak beli.Itupun setelah mak tolak bahagian lembu mak pada cher, duit bahagian emak sebanyak 200 ringgit itulah mak guna untuk membeli rumah lama Tijah ni.

Kami adik beradik dah biasa terjereloh bila terpijak lantai papan yang reput. Bila ada yang kena, pak akan tampal lantai yang berlubang tu dengan papan kecil sekadar muat untuk menutup lantai yang telah reput itu. Disebabkan banyak kali sangat kami yang cheredong ni terjereluh, maka apabila dihampar tikar getah akan kelihatanlah bonggol-bonggol yang menutupi bekas papan yang digunakan untuk menampal lubang tu.

"Muma ni, tak reti jalan molek-molek kae",emak sering membebel setiap kali ada yang terjerlus.

Lantai rumah lama itu memang sudah reput. Bukan setakat terjerlus sahaja, malah kami juga sering tersandung kerana permukaan lantai yang tidak rata. Akibatnya, kuku ibu jarilah yang menjadi mangsa. Sakitnya bukan kepalang. Terpaksa aku menyarungkan selipar jepun untuk ke sekolah. Pernah suatu hari, aku menangis di tapak perhimpunan kerana jari ibu kakiku yang bengkak telah dipijak oleh rakan.

Rumah lama yang serba reput itulah menjadi tempat berteduh kami sehingga dewasa. Rumah itu emak dan pak beli kerana kedudukkannya yang berhampiran dengan sekolah menengah. Pak tak perlu lagi menyediakan duit tambang bas untuk anak-anaknya ke sekolah.